Monday, March 24, 2008

Syed Hamid Albar terus didesak

Menteri Dalam Negeri yang baru, Datuk Seri Syed Hamid Albar terus didesak supaya membebaskan lima pemimpin Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Mereka yang meringkuk di Kem Tahanan Kamunting di Taiping ialah M Manoharan, P Uthayakumar, V Ganabatirau, R Kengadharan dan K Vasantha Kumar.

Semuanya ditahan pada 13 Disember selepas terbabit menganjurkan perhimpunan 25 November lalu serta membuat kenyataan yang berunsur hasutan terhadap kerajaan.

Kali ini gesaan tersebut dibuat oleh seorang tokoh yang tidak asing lagi, Datuk Param Cumaraswamy yang merupakan bekas pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai kebebasan hakim dan peguam.

Gesaan itu terkandung dalam surat terbukanya kepada menteri berkenaan hari ini.

Sebelum ini, gesaan yang sama dibuat oleh pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang dan penolong setiausaha parti Gerakan Wilayah Persekutuan, K K Supmaniam serta Presiden Hindu Sangam Malaysia, Datuk A Vaithilingam.

Semak semula arahan

Menurut Param, salah satu tugas tugas utama Syed Hamid selaku Menteri Dalam Negeri yang sangat penting dalam kerajaan, ialah menyemak semula arahan yang dibuat pada 12 Disember 2007 terhadap lima pemimpin Hindraf tersebut dan membebaskan mereka tanpa syarat.

"Mereka ditahan tanpa bicara di bawah 8(1) Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 untuk menghalang mereka daripada bertindak dalam bentuk yang membahayakan keselamatan Negara," katanya dalam surat tersebut.

Param berkata, keputusan pilihanraya umum dua minggu lalu hendaklah dilihat sebagai menyangkal apa juga syak wasangka kerajaan terhadap mereka pada masa mereka ditahan.

"Perjuangan Hindraf kini telah menjadi sebahagian daripada perjuangan MIC dalam kerajaan dan juga di pihak pembangkang.

"Malah, seorang daripada mereka, M Manoharan, telah dipilih oleh pengundi di Kota Alam Shah sebagai wakil rakyat mereka di Dewan Undangan Negeri Selangor.

"Itu harus diterima sebagai satu mesej yang jelas bahawa para pengundi tidak menganggap beliau sebagai ancaman kepada keselamatan negara. Jadi jelas, tiada lagi sebarang justifikasi untuk terus meletakkan dalam tahanan," kata Param lagi.

Tegak keadilan

Dalam pilihanraya umum, Manoharan yang bertanding atas tiket DAP di kerusi DUN Kota Alam Shah di Selangor dan menang dengan majoriti 7,184 undi.

Beliau mendapat 12,699 undi untuk menewaskan calon BN-Gerakan, Ching Su Chen yang memperolehi 5,515 undi.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dilaporkan telah melaksanakan program yang berani untuk memperbaiki keseluruhan sistem penyampaian kebebasan keadilan di negara ini yagn begitu mustahak untuk melindungi perintahan undang-undang.

"Berasaskan kepada pengalaman luas Datuk sebagai Menteri Luar dan sudah biasa dengan program-program PBB dalam mempromosi hak asasi manusia dan pemerintahan undang-undang, pastinya anda tanpa tanpa ragu-ragu sependapat bahawa penahanan tanpa bicara melanggar prinsip pertama dalam pemerintahan undang-undang," tegas Param.

Oleh itu, tambahnya, demi keadilan dan mengukuhkan lagi harmoni dan integrasi kaum di negara ini, beliau menggesda Syed Hamid supaya menyemak semula arahan tersebut dan membebaskan pemimpin Hindraf terbabit agar mereka dapat kembali ke pangkuan keluarga masing-masing.

"Dan ia juga membolehkan Manoharan berkhidmat kepada para pengundinya di Kota Alam Shah, secara berkesan," tegasnya.

No comments: